Thursday, August 27, 2009

BeRBuKa MeNGiKuT SuNNaH

Sumber: Buletin Al-Khadeem

Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:

a. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w. Ibn ‘Umar r.a berkata:

“Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala (Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu Dawud, no: 2010.Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in an taghfirali)” - Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743. Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w : “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” – Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.

b. Menyegerakan Berbuka Puasa. Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa.

Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957. Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T telah berfirman: “Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.

c. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air. Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis.

Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi s.a.w. Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.

No comments:

Post a Comment